Keadaan Jalan Sultan Azlan Shah menuju Jalan Ipoh dinaiki banjir kilat selepas berlaku hujan lebat petang ini ketika tinjajuan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 APRIL 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR -Sekretariat Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan bencana digesa mengumumkan langkah-langkah mitigasi awal bagi mengelak banjir dan tidak memberi impak besar kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharuddin berkata, kerja pengurusan saliran, longkang dan pembesaran parti serta latihan koordinasi setiiap agensi yang terlibat perlu dibuat awal sebelum tiba musim monsun.

“Sebagaimana pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selalu mengadakan latihan eksesais simulasi peperangan dan operasi, konsep ini wajar diterima pakai oleh agensi pengurusan bencana.

“Ambil langkah awal, buat pengumuman dan makluman berkala, terbitkan maklumat penting berkaitan bencana lebih awal dan adakan pelan komunikasi yang jelas dan teratur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Zaidel, kerajaan perlu memastikan tidak ada kelemahan dalam strategi yang diambil sekiranya berhadapan dengan bencana banjir khususnya koordinasi dan komunikasi setiap agensi berkenaan.

“Jangan kita ulangi kesilapan lalu di mana koordinasi lemah di kalangan agensi kerajaan menyebabkan ekonomi negara kerugian puluhan kalau tidak ratusan juta ringgit, lebih sedih lagi apabila ianya juga melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Menurut beliau, dalam masa yang sama, kerajaan negeri perlu dilibatkan dalam persiapan awal kerajaan persekutuan.

“Pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan negeri lebih arif dalam selok elok infrastruktur dan topologi tempatan. Ibarat pepatah, sediakan payung sebelum hujan,” jelas Zaidel.-MalaysiaGazette