Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan baik walaupun mempunyai masalah kesihatan ketika menjalani hukuman penjara.

Malah menurut sumber yang enggan dinamakan, Najib hadir ke prosiding perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya dalam keadaan ceria walaupun selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu hari ini memakai sut warna biru tua hadir diiringi pegawai penjara memasuki Mahkamah Tinggi Jenayah 1 dan duduk dalam kandang tertuduh.

Seperti biasa beliau akan melemparkan senyuman kepada yang menegurnya.

Hadir sama dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Sebenarnya Datuk Seri Najib Razak ini sangat tabah, kuat dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Semalam, bila berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar, ramai juga netizen dan keyboard warriors bagi pelbagai komen negatif, ada juga menghinanya.

“Saya pun tidak pasti bagaimana kamu semua (media) dapat bau berita kemasukan beliau ke hospital. Orang Najib tidak mahu heboh tentang perkara ini. Kami tahu tentang masalah kesihatan beliau tetapi beliau tetap seperti biasa, tenang.

“Ada juga yang komen kononnya beliau mahu melengahkan prosiding 1MDB, tidak mahu duduk di penjara, buat-buat sakit olok-olok dan sebagainya.

“Jika anda fikir begitu, anda bukan sahaja salah tetapi jangan harap beliau cepat mengalah. Semangat juang beliau amat tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disahkan sabitan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu dengan tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Semalam, tular berita Najib masuk hospital sebelum ia disahkan oleh pegawai beliau yang mantan Presiden UMNO itu berada dalam keadaan stabil selepas melalui semua pemeriksaan perubatan yang diperlukan.

Perbicaraan hari ini bersambung dengan keterangan  bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa yang disoal balas oleh peguamnya.

Najib sedang berderdepan dengan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast