MUKTAMAR Tahunan Pas kali ke-68 telah berakhir semalam.
Muktamar kedua selepas parti itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan pada Mac 2020 dan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Lebih 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara hadir ke muktamar yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September lalu.
Bermula dengan persidangan sayap-sayap parti didahului Muktamar Dewan Pemuda Pas pada Khamis dan Jumaat, dan Muktamar Dewan Ulamak Pas dan Dewan Muslimat Pas pada Jumaat jelas kelihatan bahawa parti yang dilabel sebagai ‘parti lebai’ itu memasang perancangan teliti untuk terus menjadi Kerajaan.
Walaupun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak langsung menyebut nama UMNO sama ada pada Ucapan Dasar Presiden dan ketika ucapan penangguhannya, jelas UMNO merupakan salah satu daripada agenda parti berkenaan.
Kenyataan berterus-terang Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan bahawa Pas tidak akan membiarkan UMNO melalui Barisan Nasional (BN) untuk mendirikan kerajaan bersendirian pada PRU-15 nanti.
“Matlamat Pas masuk pilihan raya yang pertama ialah mengelak Pakatan Harapan (PH) memerintah semula, yang kedua mengekalkan kerajaan negeri yang Pas memerintah sekarang ini iaitu Kelantan, Terengganu dan kerajaan campuran yang dipimpin Pas di Kedah.
“Yang ketiga mengelak BN menubuh kerajaan secara bersendirian. Tiga matlamat utama PRU-15,” katanya dalam ucapan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas.
Pada 4 September lalu, ketika pengulungan, Sanusi mendedahkan strategi Pas untuk memastikan tidak ada mana-mana parti membentuk kerajaan secata bersendirian adalah dengan memastikan parti itu memenang 40 kerusi.
“Sasaran menang paling minima 40 kerusi Parlimen. Jika ada 40 kerusi Parlimen tak ada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan persekutuan tanpa Pas,” katanya.
Jumlah 40 kerusi yang disasarkan tersebut adalah batu lonjakan yang ditetapkan dalam perjalanan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050.
Pada 2050, jika umur panjang, menurut Sanusi, rakyat Malaysia mungkin dapat melihat Presiden Pas menjadi perdana menteri.
Perkara yang sama turut diperkatakan oleh pemimpin lain seperti Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sepanjang muktamar berlangsung.
Bagi memastikan memenangi kerusi yang dikehendaki Pas mahu melakukan rundingan terhadap sejumlah 27 kerusi Parlimen dengan alasan kerusi terbabit akan dimenangi oleh PH jika berlaku pertembungan dengan UMNO.
Sama ada rundingan itu berjaya atau tidak masih lagi samar kerana pemimpin UMNO termasuk Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menolak sebarang kerjasama dengan parti yang mempunyai kaitan dengan Bersatu.
Pun begitu, terdapat pemimpin Pas yang kelihatan benar-benar jujur mahu hubungan dengan UMNO dipelihara demi perpaduan Melayu dan Islam dan bagi memastikan kuasa politik kaum utama di Malaysia itu tidak terhakis.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulamak pada Jumaat lalu menceritakan bukan mudah untuk Pas dan UMNO bersama.
Malah penubuhan Muafakat Nasional merupakan satu perjalanan panjang.
“Bagi kita agenda perpaduan ummah ini, pada saat-saat akhir ini timbul kerana sebelum itu usaha-usaha ke arah itu telah wujud. Tinggal lagi waktu kita meterai watikan perpaduan ummah itu hasil daripada usaha panjang yang telah diadakan sebelum ini.
“Bagi saya melihat hasil daripada tandatangan itu keadaan masyarakat yang dulu sentiasa bertembung perselisihan paham terutama di kampung-kampung diredakan ke peringka yang membanggakan,” kata.
Malah Dewan Ulamak Pas menjadikan usul penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) dan berbaik dengan UMNO dibawa ke muktamar untuk dibahas dan disokong.
Seorang perwakilan dari Taiping bangun ketika usul itu dibacakan dan menegur kerana nama UMNO tidak disebut.
“Saya ingin menyatakan bahawa kami menyokong usul yang di bawa Dewan Ulamak. Tapi dalam ini tidak sebut UMNO. Saya percaya kita semua mengakui undi daripada UMNO adalah penting untuk mewujudkan kekuatan politik orang Melayu dan Islam walaupun semalam Presiden UMNO telah menyatakan bahawa jangan kita terhegeh-hegeh ajak UMNO bersama dengan Pas.
“Tetapi kita kena lihat juga bahawa Presiden UMNO dan ahli-ahli di bawah ini seumpama kepala kereta api dengan gerabak. Di mana ahli akar umbi UMNO sekarang ini mempunyai hubungan baik dan mesra dengan Pas peringkat akar umbi,” katanya.
Ikhlas atau strategi, parti pak lebai itu tidak harus dipandang ringan oleh sama ada oleh musuh atau rakan Pas. Dalam politik musuh dan rakan boleh bertukar tempat pada bila-bila masa.
Cita-cita parti itu untuk menjadi king maker seperi yang disuarakan kerap kali oleh Presidennya Abdul Hadi tidak harus dilupakan dengan mudah oleh lawan dan rakan.
Muktamar Tahunan Pas ke-68 menjadi saksi bahawa parti itu benar-benar telah mengatur strategi menjadi king maker pada PRU-15 nanti.- MalaysiaGazette