PETALING JAYA – Misteri kehilangan barangan kemas milik seorang wanita di Kelana Jaya akhirnya terungkai apabila pembantu rumahnya ditahan kerana disyaki mencurinya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada mangsa berusia 40-an yang menyedari kehilangan barang kemas miliknya yang dianggarkan bernilai lebih RM150,000 pada malam Jumaat lalu.
“Siasatan lanjut polis berdasarkan aduan dari mangsa akhirnya berjaya membawa kepada penahanan seorang wanita wanita warga Indonesia kira-kira pukul 3 petang.
“Siasatan lanjut polis mendapati suspek seorang wanita berusia 55 tahun dan bekerja sebagai pembantu sambilan di rumah mangsa dan disyaki melakukan jenayah tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan di dalam rumah mangsa dan berjaya menemui beberapa barang kemas dipercayai milik mangsa yang disorok.
“Antara barang kemas berharga yang dirampas adalah 12 kepingan emas pelbagai saiz dan berat, empat keping emas dan dua bentuk cincin,” katanya.
Suspek kini ditahan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette