KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar urusan permohonan tanah di pejabat daerah dan tanah di Pahang tidak tertangguh.
Baginda bertitah, semua permohonan perlu diselesaikan segera dan dipercepatkan supaya tidak merugikan rakyat jika berlaku kurangnya kes tertangguh.
Al-Sultan Abdullah mahu isu berkenaan disusun atur dengan baik oleh pentadbir negeri dengan memberi keutamaan kepada isu tersebut.
“Segala masalah sama ada di peringkat perbandaran dan daerah perlu diselesaikan secepat mungkin agar setiap peringkat pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan lancar.
“Saya minta jasa baik Menteri Besar dan juga pihak pentadbiran supaya menentukan pentadbiran tanah khususnya permohonan tanah untuk rakyat dipercepatkan supaya tidak begitu besar backlog yang mungkin akan melambatkan usaha mereka memajukan tanah-tanah berkenaan,” titahnya.
Sementara itu, baginda mahu pihak pentadbiran menjaga kebersihan dan menyelenggara bangunan kerajaan negeri dan persekutuan.
Baginda menegaskan, aspek kebersihan tandas di masjid atau pejabat di seluruh negara diberi perhatian, termasuk menyelenggaranya.
“Kebanyakan bangunan-bangunan sama ada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan agak begitu keadaan yang tidak sempurna dari segi penyelenggaraannya, dari segi kebersihannya.
“Saya harap setiap pejabat daerah setiap mahkamah syariah setiap masjid-masjid dan setiap tempat tempat awam harus kita beri perhatian khususnya bilik-bilik air,” titah baginda. – MalaysiaGazette