KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah prinsip keadilan Islam perlu dilaksanakan dalam semua peringkat tanpa sebarang pengecualian semasa menguatkuasakan hukuman di mahkamah syariah.
Malah Seri Paduka bertitah, prinsip tersebut senada perintah agama Islam.
“Hakikatnya undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja.
“Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah dan prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera,” titah Al-Sultan Abdullah.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah Seri Paduka, ketegasan dalam prinsip itu jelas tidak memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahu pun ibu bapa.
Ketegasan prinsip keadilan Islam turut tidak membenarkan sebarang ketidakadilan terhadap sesiapa juga termasuk kepada golongan mereka yang tidak disenangi.
Seri Paduka bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan oleh mahkamah tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak.
“Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah tuhan dan bukannya mewakili kuasa tuhan. Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.
“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan,” titah Seri Paduka.
Dalam pada itu, Seri Paduka mahu mahkamah syariah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama melibatkan kes-kes kekeluargaan.
Sehubungan itu, bidang kuasa mahkamah syariah hendaklah cekap dan efisien dalam memutuskan hukuman dan mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.
“Hakim-hakim syarie hendaklah memastikan kes-ke yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.
“Para pegawai mahkamah dan peguam syarie turut bertanggungjawab secara kolektif untuk menentukan prosiding mahkamah berjalan lancar,” titah Seri Paduka.
Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang mula dibina pada 22 Jun 2015 itu menelan belanja RM44.757 juta dan siap sepenuhnya pada 23 September 2021. – MalaysiaGazette