Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas membawa nada berbeza hari ini mengenai jumlah 80 kerusi yang ingin ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahm Tuan Man berkata, jumlah kerusi itu hanyalah dalam pemantauan dan bukan jumlah sebenar.

“Itu bukan jumlah kerusi (80 kerusi Parlimen) kita (nak) bertanding, itu kerusi yang kita pantau,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Simposium Perubahan Iklim anjuran Pejabat Ketua Pembangkang di Dewan Banquet Parlimen hari ini.

Hadir sama adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Semasa Muktamar Pas di Kedah semalam, pengarah pilihan raya parti itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan parti itu meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi pada PRU-15 akan datang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, Pas menyasarkan akan memenangi separuh daripada kerusi-kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, semua kerusi yang akan ditandingi oleh Pas masih belum diputuskan buat masa ini.

“Jumlah kerusi kita akan berbincang diperingkat parti Perikatan Nasional belum diputuskan.

“Bagaimanapun setiap parti akan buat pemantauan kepada kerusi-kerusi yang kita rasa boleh menang di kerusi tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas bertanding 80 kerusi Parlimen, sasar menang 40