Sebuah kereta yang terbalik berikutan hujan lebat yang mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Hulu Langat ditenggelami air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.

JABATAN Meteorologi Malaysia menjangkakan negara akan berdepan dengan krisis banjir besar pada hujung tahun ini berikutan taburan hujan lebat dan beberapa faktor lain yang telah dikeluarkan dalam laporan pada baru-baru ini .

Banjir besar yang berlaku pada tahun 2013 khususnya di negeri pantai timur menjadi satu pengalaman yang cukup ngeri dan berharga buat rakyat di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang .

Malah kita tidak pernah sesekali melupakan jasa Datuk Seri Shabery Cheek ketika itu kerana berjaya mengawal dan menangani bencana dengan sangat cepat dan berkesan.

Beliau pernah menerima anugerah di Geneva pada tahun 2016 kerana menjadi contoh  pengurusan bencana banjir.

Antara prinsip yang digunakan ialah tahu membezakan antara kecemasan dan bencana.

Banyak aparatus negara dibina untuk tujuan kecemasan bukan bencana.

Bomba, polis, ambulans, bahagian kecemasan hospital, MERS 999 semuanya diwujudkan untuk tujuan kecemasan tapi tak mampu menampung bencana skala besar.

Waktu banjir besar, bot bomba tidak cukup, polis tak dapat mengawal keadaan dan pusat panggilan 999 tidak memahami situasi setempat – itu adalah skrip sama.

Sedangkan, bencana menuntut mobilisasi keseluruhan penduduk.

Misalnya ada 40 kenderaan pancuan empat roda, berpuluh bot nelayan yang boleh digunakan, dan beribu sukrelawan menguruskan tempat perpindahan bagi membantu sistem yang tak mampu membuat segalanya.

Antisipasi ialah mengandaikan senario terburuk perlu dibuat.

Dalam kes banjir, apa kata kalau 40,000 orang terpaksa berpindah? Berapa banyak pusat perpindahan yang disediakan?

Bekalan makanan, tempat tinggal, pengurusan kanak-kanak, bilik mandi, tandas dan sebagainya mencukupi dalam tempoh beberapa minggu.

Andai pusat-pusat ini terputus hubungan, apa kordinat helikopter mendarat?

Dan yang terakhir adalah kesiapsiagaan dalam menjadual air pasang surut, ada sistem amaran awal, kamera CCTV di tempat strategik, penduduk digalakkan mengambil insurans banjir dan sebagainya. Penduduk diajar berpindah sebelum air naik .

Ini semua adalah sangat penting. Kita tidak mahu lagi kerajaan terpinga-pinga apabila ianya telah berlaku.

Kita perlu bersiap sedia daripada sekarang. Kehilangan harta benda dan nyawa mungkin dapat dikurangkan jika kita benar-benar belajar daripada setiap kesilapan yang lalu.

Soal bencana ini bukan perkara main-main, tolak seketika fahaman dan ideologi politik dan kita perlu saling berganding bahu sebagai satu pasukan.

Syaiful Irfan Anang
Pengerusi NGO
Gerakan Ekonomi Melayu Prihatin Rakyat (GEMPUR)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast