KUALA LUMPUR – Pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak dilihat tidak membersihkan UMNO daripada budaya rasuah, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, UMNO yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan lagi seperti parti yang berperang disertai beliau suatu masa dahulu.
“Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.
“Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama,” katanya yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru itu, Mahathir yang kini membentuk gabungan parti politik baharu dikenali Gerakan Tanah Air (GTA) meminta pengundi menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya, bekas Presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.
“Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘cash is king’,” katanya lagi.
Perumpamaan ‘cash is king’ dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang mempertahankan pendekatan itu dengan menyifatkan langkah sedemikian lebih mudah untuk membantu rakyat ketika susah.
Sambil merujuk ‘king’ itu adalah rakyat, beliau berkata, pengenalan pembayaran tunai secara terus kepada rakyat yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya sebelum ini dan diteruskan sehingga hari ini, berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat.
Najib hari ini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, Mahathir mendakwa, UMNO kini sudah berubah kepada parti perasuah secara total.
Katanya, pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbillion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.
“Saya terpaksa keluar dari UMNO kerana UMNO bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946, bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British, bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.
“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu.
“Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan UMNO untuk bersihkan parti. Sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya didapati bersalah dan dipenjara,” katanya. – MalaysiaGazette