Polis Johor berjaya menemui lokasi tempat penyimpanan deisel dekat Taman Maju Jaya Kempas.

JOHOR BAHRU – Lima lelaki ditahan polis disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Kontraban di tiga lokasi sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pukul 2 pagi itu turut membawa penemuan kepada 46,000 liter diesel, sebuah lori dan wang tunai membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM159,722.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah stesen minyak di Taman Abad lebih kurang pukul 2 pagi membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan sebuah lori bersama muatan minyak diesel bersubsidi.

“Susulan daripada penahanan tersebut di lokasi berasingan kira-kira 2.30 pagi polis telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun di Taman Tun Ungku Aminah.

“Ketika itu  wang tunai dipercayai digunakan untuk melakukan transaksi pembelian diesel bersubsidi sekitar bandar raya ini turut ditemui dan dirampas.

“Rentetan itu semalam kira-kira pukul 11.30 pagi pula polis telah membuat serbuan tempat penyimpanan deisel dekat Taman Maju Jaya Kempas dan tiga lagi lelaki warga asing turut ditahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, semakan rekod lampau terhadap lelaki tempatan berusia 42 dan 29 tahun itu mendapati mereka pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.- MalaysiaGazette