Shahrir Samad Majlis Peguam SPRM LHDN
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad kesal dengan sikap netizen yang menyindir beliau ekoran salah faham mengenai tajuk laporan media berhubung perbicaraan kes beliau di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Menurut bekas Pengerusi Felda itu, saksi pendakwaan yang sebenarnya menyatakan beliau tidak tahu bahawa sumber dana RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Satu hal lah kalau hanya baca tajuk berita. Ini baca tajuk berita pun tak baca habis,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Dalam prosiding semalam, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata beliau yang berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang tersebut.

Beliau mengingatkan bahawa perbicaraan kes tersebut masih dalam peringkat pendakwaan namun peguamnya dibolehkan menyoal saksi-saksi pendakwaan.

Shahrir berkata, itu adalah antara jawapan saksi apabila disoal balas oleh peguamnya.

“Saksi pun pegawai bank yang berpengalaman. Puan Uma pun pernah jadi saksi pendakwaan dalam kes SRC Datuk Seri Najib,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, teguran itu dibuat agar netizen tidak tersalah baca, tersalah faham dan tersalah tulis sesuatu yang tidak baik.

“Baca betul-betul. Jangan melenting,” katanya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette