Tempoh menunggu untuk mengikuti kelas memandu kini mencecah enam bulan.

KUALA LUMPUR – Dengan pelonggaran prosedur operasi standard (SOP), “pelajar lama” dan baharu telah mendaftar secara beramai-ramai untuk belajar memandu sehingga seluruh proses untuk memperoleh lesen memerlukan masa selama enam bulan.

Nanyang Siang Pau melaporkan, masa menunggu telah menjadi berganda kerana sebelum pandemik, masa yang diperlukan hanyalah dua hingga tiga bulan.

Isu itu turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mahu isu itu diatasi segera.

Seorang pemimpin persatuan sekolah memandu di Lembah Klang berkata, kesesakan berpunca daripada jumlah pelajar yang meningkat secara mendadak.

“Selain pelajar yang tidak dapat mengikuti kelas sebelum ini kerana pandemik, terdapat juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu mendapatkan lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebenarnya mampu menangani peningkatan yang berlaku, tetapi kapasiti di tempat ujian memandu adalah terhad.

Jelasnya, JPJ mempunyai empat tempat ujian di Kuala Lumpur yang mampu menampung 600 calon ujian memandu setiap hari. – MalaysiaGazette