KUALA LUMPUR – Jumlah trafik global bagi perjalanan udara pada Julai 2022 yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat 58.8 peratus berbanding Julai 2021, dipacu terutamanya daripada pemulihan kukuh yang berterusan bagi trafik antarabangsa.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam kenyataan hari ini berkata, trafik di peringkat global pada masa ini berjumlah 74.6 peratus daripada tahap sebelum krisis.
“Trafik domestik pada Julai 2022 menokok 4.1 peratus berbanding setahun lepas dan kini memacu pemulihan.
“Jumlah trafik domestik pada Julai 2022 sebanyak 86.9 peratus daripada tahap pada Julai 2019. China menyaksikan peningkatan bulan ke bulan yang kukuh berbanding Jun,” katanya.
Menurutnya trafik antarabangsa naik 150.6 peratus berbanding Julai 2021, manakala RPK antarabangsa Julai 2022 mencapai 67.9 peratus daripada paras Julai 2019 dengan keseluruhan pasaran mencatatkan pertumbuhan kukuh, diterajui Asia Pasifik.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata prestasi Julai terus mengukuh dengan sebilangan pasaran menghampiri tahap sebelum COVID-19 walaupun mengalami kekangan kapasiti di negara-negara yang belum bersedia dengan kehadiran orang ramai yang kembali aktif melakukan perjalanan.
“Masih banyak aspek yang perlu dipulihkan, tetapi ini merupakan isyarat sangat baik memandangkan kita menuju ke kawasan musim luruh dan musim sejuk yang secara tradisinya lebih lewat di Hemisfera Utara.
Beliau berkata sektor penerbangan terus mencatatkan pemulihan berikutan orang ramai mengambil peluang untuk melakukan perjalanan.
“Pandemik menunjukkan bahawa penerbangan bukanlah satu kemewahan, sebaliknya adalah keperluan dalam dunia global dan saling berkait.
“Sektor penerbangan komited untuk terus memenuhi permintaan orang ramai dan perdagangan serta melaksanakannya secara mampan,” katanya. – BERNAMA