Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) - Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 06 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, masa depan Kertas Putih perlu diberi keutamaan walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan itu pada masa akan datang.

Namun beliau memberitahu, masih terlalu awal untuk membuat andaian sedemikian.

Bagaimanapun, katanya Kertas Putih adalah penting bagi setiap kementerian dan setiap menteri perlu memberi penekanan untuk meneruskan pelan yang sudah dirancang.

“Cepatnya nak halau saya tunggulah sekejap, dahlah kena halau dari (Parlimen) Rembau, ini nak halau dari KKM pula,” katanya dalam nada berseloroh.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Khairy sebelum ini telah mencadangkan penyediaan satu kertas putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan reformasi sistem kesihatan negara dapat dibuat terutama dalam memastikan ia kalis masa depan.

Perkara itu telah disuarakan kepada Bahagian Perancangan KKM untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan sokongan bipartisan sama ada wakil rakyat daripada kerajaan ataupun daripada pembangkang.

Kertas Putih Kesihatan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) dan Presiden Malaysia Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Billy Urudra (kiri) bergambar bersama pada majlis pelancaran Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 06 SEPTEMBER 2022.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan itu mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15, dengan menjelaskan beliau diminta ‘memberi laluan serta mencari tempat lain’ oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu bertanding di kerusi terbabit dan pada sama, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang membuat perolehan vaksin papilomavirus manusia (HPV) bagi meningkatkan kadar vaksinasi itu dalam kalangan pelajar perempuan.

Menurut beliau, perolehan itu dijangka dibuat hujung tahun ini dan pada awal tahun depan.

Katanya lagi, Malaysia agak ketinggalan disebabkan pandemik yang melanda bagi program vaksin HPV sekolah.

“Berdasarkan data yang KKM ada pada 2020, seramai 209,279 iaitu 98.2 peratus pelajar perempuan Tingkatan 1, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin HPV dan seramai 206,042 atau 96.7 peratus sudah menerima dua dos vaksinasi dalam tahun berkenaan.

Khairy berkata, kadar liputan vaksin HPV yang menurun itu disebabkan kekurangan bekalan di peringkat global.

“Kami sudah merancang untuk pastikan kami membuat perolehan vaksin yang mencukupi hujung tahun ini dan tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast