Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil ketika bercakap pada sidang media mengenai Program Rapat Mega Keadilan yang akan diadakan di Tapak Bazar Melawati pada 11 September di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 SEPTEMBER 2022.

PETALING JAYA – Peruntukan kira-kira RM1 bilion untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih baik disalurkan dalam bentuk dana kepada rakyat yang memerlukan dalam menghadapi bencana banjir. 

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, PH berpandangangan PRU-15 tidak sesuai diadakan penghujung tahun ini ekoran fenomena La Nina yang dijangka berterusan hingga Disember. 

“Pada ketika banjir kilat mungkin boleh berlaku bila-bila masa, adakah wajar wang itu digunakan untuk PRU atau pun kita patut selesaikan masalah rakyat kerana yang berlaku malam tadi di Baling akibat banjir kilat turun daripada Gunung Inas.

“Sekiranya fenomena ini berterusan hingga ke hujung tahun, saya sedikit risau tentang kewajaran menggunakan bajet itu ketika rakyat betul-betul menghadapi masalah,” katanya dalam sidang media pengumuman program Rapat Mega PKR di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Menurut Fahmi, kerajaan harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik sesetengah pihak.

Justeru itu, beliau berpendapat adalah lebih baik PRU15 diadakan tahun hadapan.

“Saya jangkakan tahun depan lebih sesuai. Bila? Kita masih ada banyak masa dan paling lewat Parlimen akan bubar paling lewat 15 Julai 2023 dan PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari pada hari itu sama ada 14 atau 15 September 2023.

“Saya lihat masa itu ada dan masalah yang dihadapi oleh rakyat kita tidak boleh ambil ringan. Saya risau sepatutnya wang itu kita sediakan sebagai dana membantu rakyat menghadapi musim banjir,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bulan lalu berkata kos penganjuran PRU-15 boleh mencecah RM1 bilion dan perlu diadakan sebelum Julai tahun depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata jumlah itu naik sekali ganda daripada kos sebenar penganjuran PRU-14 pada 2018 lalu dengan hanya melibatkan RM500 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast