ROMPIN – Wakil Pahang selaku tuan rumah muncul pendahulu kategori kebangsaan TK1 lelaki selepas muncul juara Peringkat 1 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Hiburan di sini pada Rabu dalam perlumbaan sejauh 14 kilometer.
Mohd Adib Kamaruzrizan Adib, 24 tahun merekodkan masa keseluruhan 1 jam 14 minit 05.35 saat bagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya – Daing Sulaiman Daing Suhaimi (1:14:50.58s) dan Freddy Anggang (1:15:51.36s).
“Syukur alhamdulillah saya berjaya memenangi perlumbaan hari ini. Cuma cabaran utama yang saya hadapi pada perlumbaan hari ini adalah ombak kerana saya dah lama tak bersaing dalam acara TK1 di laut.
“Bagi perlumbaan Peringkat 2 di Pekan esok, saya akan cuba mengekalkan momentum ini untuk terus berada di tempat pertama.
“Paling penting, mental kena kuat kerana saya sedar cabaran daripada peserta Terengganu dan PDRM,” katanya ketika sidang media sejurus pengumuman kemenangan peringkat 1 hari ini.
Adib berjaya meraih wang tunai RM800 manakala Daing Sulaiman dan Freddy masing-masing membawa pulang RM500 dan RM300 selaku pemenang tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta dan pasangan adik beradik, Nor Azita-Nursaibah Syahida Ibrahim menepati ramalan apabila masing-masing menjuarai kategori kebangsaan TK2 lelaki dan wanita.
Azfaruddin-Imam Sujadi mengesahkan kemenangan apabila merakam masa keseluruhan 1:09:54.23s manakala Nor Azita-Nursaibah merekodkan catatan 1:17:57.32s bagi membolehkan kedua-dua gandingan berpengalaman itu muncul pendahulu Peringkat 1.
Juara peringkat bagi kategori TK2 lelaki dan wanita membolot wang tunaiRM1,500 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,000 dan RM500.
Perlumbaan peringkat 2 kejohanan kanu antarabangsa itu yang julung-julung kali akan disambung ke lokasi kedua pada esok, di Pantai Lagenda, Pekan. – MalaysiaGazette