Rafizi Ramli
AMPANG – Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli tidak akan berhijrah ke Johor tetapi akan kembali bertanding di kerusi Parlimen Pandan di Selangor.

Sinchew Daily melaporkan, wakil rakyat sedia ada iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula dijangka berundur dan memberi laluan.

Pandan merupakan kawasan campuran dari segi komposisi kaum dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai mempunyai lebih ramai pengundi Cina manakala DUN Pandan Indah mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Semasa pilihan raya lalu, pertandingan lima penjuru berlaku dengan penyertaan daripada PKR, MCA, Pas, PRM dan juga calon bebas.

Untuk pilihan raya akan datang pula, Warisan juga besar kemungkinan akan bertanding di Pandan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Lai Wai Chong yang bertukar dari DAP ke Warisan dilaporkan akan bertanding di DUN Teratai dan juga Parlimen Pandan.

Sementara itu, calon MCA yang kecundang sebelum ini iaitu Leong Kok Wee juga dilaporkan akan mencuba nasibnya sekali lagi di Pandan. – MalaysiaGazette