Mohd Sharkar Shamsuddin

KUANTAN- Barisan kepimpinan Pas perlu melakukan solat sunat istikharah beramai-ramai bagi memilih antara gabungan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata,
perkara itu perlu segera diputuskan jika PAS mahu terus bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Selain itu, Pas juga harus menghormati kepimpinan UMNO yang telah dipilih ahli akar umbi UMNO jika mahu meneruskan kerjasama.

Beliau bertegas bahawa PAs tidak boleh terus bermain dua kolam kerana Perhimpunan Agung UMNO (PAU) telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Tambah ADUN Lanchang itu, keputusan dasar parti yang dibuat pada peringkat tertinggi parti, menerusi PAU perlu dihormati oleh Pas jika mahu terus bekerjasama dengan UMNO di bawah gagasan MN.

“Pas telah pun berkahwin dengan Bersatu di bawah PN dan kini mahu berpoligami pula dengan UMNO, apa sebenarnya pendirian Pas? Pilih PN ataupun MN pada PRU15?

“Saya berpandangan Bersatu juga enggan bekerjasama dengan UMNO kerana apa diinginkan parti itu adalah ‘khemah besar’ yang melibatkan semua parti termasuk PH.

“Jadi, segerakan solat sunat istikharah dan pilih antara MN atau PN. Janganlah PAS mahu terus bermain dua kolam demi memastikan kerusi dimenanginya PRU14 lalu selamat pada PRU15 akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jika Pas benar-benar ikhlas mahu bekerjasama dalam gagasan MN yang boleh dikatakan telah pun bercerai, segera pilih antara MN atau PN dan bersediakah Pas menggunakan logo BN pada PRU15?

Segala keputusan terserah kepada kepimpinan Pas, tambahnya.

Mohd Shakar menambah, BN dan UMNO kekal konsisten dengan keputusan yang dibuat dan sudah bersiap sedia bergerak solo bagi menghadapi PRU15.

“Tepuk dada tanya selera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast