KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan pemakaian pelitup masih diwajibkan di fasiliti kesihatan dan beberapa tempat lain di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, masyarakat wajib memakai pelitup apabila menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.
Jelas beliau, selain itu pelitup muka wajib dipakai sekiranya individu itu positif Covid-19 atau bergejala.
“Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya.
“Pelitup muka juga wajib dipakai ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Hari ini, Khairy mengumumkan pemakaian pelitup dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, ketetapan baharu itu bagaimanapun terpulang kepada pemilik premis sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakainya atau sebaliknya. – MalaysiaGazette