PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) masih belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai hasrat Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) untuk menyertai gabungan itu.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya hanya mengetahui niat itu dalam laporan media yang disiarkan semalam.
“Saya baru mengetahui tentang niat untuk membuat permohonan ini melalui media, setakat ini kita belum ada apa-apa dari segi hitam putih.
“Mungkin Ketua Setiausaha PH boleh memberikan penjelasan yang lebih lanjut, tapi apapun berpandukan kepada kenyataan Majlis Presiden yang konsisten selama ini perlu berpandukan kepada prinsip yang dipegang oleh PH serta berada pada landasan yang sama.
“Semestinya antara perkara utama bagi PH adalah calon PM datang dari Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang media pengumuman program Rapat Mega PKR di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Semalam kepimpinan MUDA menyuarakan hasrat untuk menjadi salah satu daripada parti komponen PH.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu tidak hanya berlandaskan tujuan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), tetapi juga mahu menjadi salah satu parti dalam blok pembangkang berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, setakat ini gabungan itu sedang fokus pada pembahagian kerusi untuk menghadapi PRU15.
Katanya, isu pembahagian kerusi yang pernah ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu menjadi fokus rundingan berkenaan.
“Bagi PH kita fokus kepada isu rundingan kerusi, prinsip yang dipegang lebih kepada kerusi-kerusi yang dimenangi oleh parti-parti politik pada PRU14 akan terus ditandingi.
”Kerusi yang ditandingi tapi tidak menang secara tidak langsung akan kekal bersama parti itu.
“Kerusi yang ditandingi oleh Bersatu akan dirunding sekarang. Jadi sebarang perbincangan tentang kemasukan mana-mana parti setakat ini belum dibincangkan,” katanya lagi.
Bercakap mengenai program Rapat Mega PKR, Fahmi berkata, program itu akan memberi fokus untuk mengempur kerusi-kerusi yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14 lalu.
Antaranya kerusi Parlimen Gombak, Ampang serta kerusi Parlimen berdekatan.
“Program tidak hanya fokus kepada ceramah mega sahaja, tapi juga fokus kepada aktiviti bersifat kelompok di kawasan.
“Kita lihat kerusi yang telah dikhianati akan menjadi salah satu fokus bagi PKR,” katanya lagi.
Program Rapat Mega akan dimulakan di Parlimen Gombak pada 11 September depan di Taman Melawati.
Antara yang dijadualkan hadir, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari dan barisan kepimpinan yang lain. – MalaysiaGazette