SHAH ALAM – Polis sedang mengesan seorang lelaki didakwa mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam, Seksyen 21, di sini pada 15 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun, pada hari sama.
Beliau berkata perbuatan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular menerusi media sosial yang menunjukkan dia masuk ke tandas wanita di kompleks sukan terbabit.
“Suspek kemudian melarikan diri sejurus mendengar jeritan pengadu (guru) dan pengadu menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Siasatan sedang dilakukan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran dan sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan ke talian 016-2745515,” katanya.
— BERNAMA