Aksi Daniele MacKenzie dari New Zealand menamatkan perlumbaan dengan masa 1:06:40.2s di Pantai Hiburan, Rompin hari ini

ROMPIN – Dua juara dunia sukan kanu, Dawid Mocke dari Afrika Selatan dan Daniele MacKenzie dari New Zealand masing-masing mendahului peringkat pertama dalam kategori utama dalam Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022.

Mocke bersaing dalam kategori Open International Single Ocean Race, yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 untuk juara keseluruhan, jaguh dari Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer di Pantai Hiburan di sini dengan masa  1:00:18.99.

Dawid Mocke dari Afrika Selatan mendahului kategori utama dalam Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022.

Walau bagaimanapun, Mocke perlu awas dengan peserta di belakangnya apabila dia hanya berada kira-kira satu saat di hadapan pemenang tempat kedua Jenkinson Kent dari Australia yang mencatat masa 1:00:19.67s .

Beliau yang pernah menjuari empat kali kejohanan dunia pada 2009, 2010, 2011, mengakui perlumbaan di Pahang ini memiliki cabaran tersendiri buat semua pelumba.

POPIC 2022 akan berlangsung selama lima hari dengan lima peringkat yang bermula di Pantai Hiburan, Rompin dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan pada 11 September.

Kejohanan yang akan disertai 180 peserta yang memababitkan laluan keseluruhan sejauh 79.36 kilometer itu menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM300,000.

Sementara itu, juara dunia wanita 2019 MacKenzie yang tidak meletakkan sasaran besar untuk perlumbaan kali ini, menjadi juara sekali lagi.

Beliau berjaya menguasai acara kategori wanita selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 1:06:40.02s dengan mengunakan kemahiran kayuhan laju dari awal di samping mengekalkan rentak.

Jaguh dari New Zealand mencatat purata kelajuan dayungan 4.5 kilometer sejam, melintasi garisan penamat dengan berada 13 minit di hadapan pemenang tempat kedua Irin Neegree dari Thailand.

Kejohanan kanu antarabangsa yang berprestij ini juga disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial ini akan disambung ke lokasi kedua pada esok, di Pantai Lagenda, Pekan.

POPIC 2022 dibawakan oleh StageMaker Sdn. Bhd. selaku penganjur dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Tourism Pahang dan Tourism Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast