Saravanan (tengah) bercakap pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang bekas banduan membabitkan kesalahan dadah yang dibebaskan dari penjara pada Disember lalu dikatakan tidak serik apabila dia ditahan semula atas kesalahan sama, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, suspek berusia 42 tahun itu antara tiga tokan jalanan yang diberkas pihaknya dalam tiga siri serbuan.

Jelas beliau,  serbuan pertama membabitkan tangkapan ke atas lelaki berusia 45 tahun yang dilakukan di kawasan Padang Tembak, Air Itam di sini.

Saravanan.

“Susulan itu, kita menahan suspek kedua iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga kenalan kepada suspek pertama di tepi jalan berhampiran Jalan Boundary, Air Itam.

“Kemudian baru kita tahan suspek ketiga yang juga bekas banduan itu di Hilir Pemancar Taman Tun Sardon, Gelugor di sini.

“Menerusi semua serbuan itu, polis merampas sebanyak 204.6 gram dadah jenis heroin bernilai RM7,155 serta sebuah motosikal jenis Honda EX-5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Tambah Saravanan, hasil siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek terdiri daripada satu sindiket sama dan aktif dalam pengedaran dadah bagi pasaran tempatan sejak pertengahan tahun ini.

“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek warga tempatan itu didapati positif dadah.

“Selain itu, semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 13 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakanharta) 1988,” kata beliau. – MalaysiaGazette