Saravanan (dua dari kanan) menunjukkan barang yang digunakan untuk aktiviti persundalan yang dirampas pihaknya dalam serbuan di Sungai Nibong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Polis membongkar kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik salun rambut dan pusat urut dalam satu serbuan di Sungai Nibong di sini semalam.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu premis berkenaan pada pukul 6.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, menerusi serbuan berkenaan, hasil serbuan membawa kepada tangkapan 12 individu yang disyaki terlibat kegiatan pelacuran.

Kata beliau, daripada 12 tangkapan itu hanya seorang lelaki merupakan pelanggan.

Saravanan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan merupakan warga negara asing dan berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahguna pas lawatan sosial.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, barangan yang disyaki digunakan bagi aktiviti persundalan serta wang tunai,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini hari ini.

Antara barang yang dirampas polis.

Mengulas mengenai modus operandi, Saravanan berkata, pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan salun rambut dan urut itu akan ditawarkan perkhidmatan seks.

“Premis itu dua tingkat dan aras bawah dijadikan pusat urut manakala salon pula di tingkat atas. Mengikut buku catitan yang dirampas kadar bayaran seks yang dikenakan bermula RM50 hingga RM150 mengikut pakej tertentu.

“Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada pemilik salun rambut itu turut terlibat sama dalam kegiatan ini atau sebaliknya,” jelas beliau.

Polis masih menyiasat penglibatan pemilik salun rambut dengan aktiviti pelacuran.

Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 10 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata, sebanyak 13 serbuan Ops Noda dijalankan pihaknya di sekitar daerah Timur Laut sejak 30 Ogos hingga semalam.

“Menerusi serbuan itu, seramai 53 suspek diberkas dan 37 daripadanya merupakan wanita warga asing.Baki selebihnya terdiri daripada enam lelaki warga asing manakala masing-masing lima wanita dan lelaki warga tempatan,” kata beliau. – MalaysiaGazette