Tuah (kiri) dan Zolkefli sebak dan saling berpelukan sambil diperhatikan peguam dan ahli keluarga selepas dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM34,300 milik firma guamannya, 17 tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas peguam berstatus orang kurang upaya (OKU) dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM34,300 milik firma guamannya, 17 tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas pengadu, Zolkefli Kadir, 48, yang hadir sebagai saksi memberi keterangan bersumpah untuk menarik kes terhadap tertuduh, Tuah Atan, 62, yang kudung kedua belah kaki dan tangan kiri.

Dalam keterangannya, pengadu menyatakan mahu menarik laporan kes yang pernah dibuat di Balai Polis Banda Hilir ketika dia dalam keadaan sihat berbanding hari ini mengalami kesukaran untuk melihat kerana penglihatan yang kabur.

“Saya mengakui memahami apabila saya tarik kes ini balik saya tak boleh dakwa dan tiada tindakan antara saya dan pihak didakwa.

“Pegawai penyiasat kes juga ada datang ke rumah untuk merakam keterangan. Saya bersetuju dengan seikhlas hati untuk menarik laporan kes ini dan menurunkan tanda tangan pada laporan,” katanya ketika disoal.

Perbicaraan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal

Sementara itu, peguam Mohamed Musthafa memohon tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu berikutan pengadu menarik balik laporan dan kes sudah berlarutan sejak 17 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh selaku peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin didakwa dengan curangnya telah melakukan pecah amanah iaitu tidak menyerahkan wang diamanahkan keseluruhan berjumlah RM34,300.

Jumlah tersebut merupakan wang bayaran pendahuluan bagi pembelian rumah yang didakwa digunakan bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh melalui akaun CIMB Bank milik firma guamannya di Taman Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah antara 15 November 2005 hingga 20 Mac 2006.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal sejak lahir didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suasana sayu di luar mahkamah apabila Tuah dan Zolkefli kelihatan sebak dan saling berpelukan sambil diperhatikan peguam serta ahli keluarga. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast