Ab Rauf Yusoh

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Melaka dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diminta membuat pengumuman mengenai perancangan membina laluan menghubungkan Melaka ke Dumai, Indonesia.

Perancangan projek ini pernah diumumkan oleh Ab Rauf bulan Mac 2022 dengan menyatakan Kerajaan Negeri Melaka bercadang membina laluan rel dasar laut sepanjang 47 km menghubungkan Melaka dan Dumai.

Menurut beliau, projek ini akan mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.

Baru-baru ini pula, Ab Rauf mengumumkan bahawa laluan yang dicadangkan tersebut adalah sepanjang 120 km, sama ada dalam bentuk jambatan atau terowong dasar laut dan akan mengambil masa 20 tahun untuk dibangunkan.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pengumuman sedemikian sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan keraguan dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan para pelabur, di samping mencemarkan kredibiliti kerajaan.

Menurutnya, jika kerajaan negeri benar-benar serius untuk melaksanakan projek tersebut, mereka sepatutnya mengemukakan maklumat penuh dan berbincang dengan pemegang taruh secara terbuka.

Pertamanya, kerajaan negeri harus menyatakan sama ada kajian kebolehlaksanaan dan analisa kos faedah telah dilakukan untuk projek ini.

Jelasnya, Ab Rauf tidak wajar membuat spekulasi bahawa projek tersebut akan mendatangkan pertumbahan ekonomi tanpa mengemukakan sebarang fakta dan analisa.

Poay Tiong berkata, dalam sebuah artikel di akhbar Jakarta Post bertarikh 19 Mac 2021, Prof. Ade Maman Suherman dan Dr Hazmi Rusli menyatakan sebuah projek serupa telah menjalani kajian kebolehlaksanaan lebih 10 tahun lalu.

Dianggarkan projek sedemikian akan menelan belanja lebih RM52 bilion, di samping mendatangkan kerosakan alam sekitar, malah mendatangkan bahaya dan kesesakan kepada kapal-kapal di laluan Selat Melaka.

Kerajaan Persekutuan juga perlu menyatakan pandangan dan pendirian mereka terhadap projek ini memandangkan ia merupakan suatu projek infrastruktur awam yang besar dan melibatkan kerjasama dengan negara Indonesia.

”Rauf juga menyatakan bahawa projek ini akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dan kerajaan negeri tidak akan menanggung sebarang kos.

”Atas dasar keterbukaan, Rauf harus mengumumkan nama dan maklumat syarikat swasta yang terlibat, termasuklah kelayakan dan keupayaan kewangan mereka untuk melaksanakan projek sebesar ini.

”Tiada syarikat swasta yang akan melaksanakan projek ini secara percuma. Apakah terma dan syarat konsesi yang diberikan? Adakah rakyat dan kerajaan akan membayar untuk projek ini secara tidak langsung?,” soal beliau.

Poay Tiong berkata, orang ramai dan para pelabur telah memandang sinis terhadap pengumuman projek ini, apatah lagi negeri Melaka mempunyai banyak projek “gajah putih” dan yang terbengkalai sebelum ini, termasuklah projek monorail, Pulau Melaka yang ditambak dan pusat-pusat membeli belah yang tidak mampan.

Sepatutnya, kerajaan negeri Melaka memberi fokus kepada projek-projek praktikal yang benar-benar boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat dan ekonomi tempatan, bukannya projek mega yang akan menelan berbilion ringgit. – MalaysiaGazette