Datuk Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis Selangor menafikan laporan berita yang mendakwa suspek kes penderaan amah Indonesia di Batu Caves baru-baru ini merupakan seorang Ketua Polis Daerah di negeri itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, laporan tersebut merupakan fitnah yang cuba menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai dan pengamal media agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan fakta yang tidak tepat berkaitan kes tersebut.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan kepada mana-mana pihak yang didapati cuba
memanipulasikan kebenaran sesuatu berita,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Menurut Arjunaidi, pada 31 Ogos lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima satu laporan daripada seorang wanita warganegara Indonesia berumur 46 tahun yang mendakwa telah didera oleh majikannya di sebuah rumah di kawasan Batu Caves, Selangor.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati mangsa mula bekerja sebagai pembantu rumah pada Oktober 2019 dan sering didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan seorang wanita warganegara tempatan berumur 35 tahun.

Berikutan itu, polis menahan dua warganegara tempatan berumur 35 dan 38 tahun iaitu pasangan suami isteri yang merupakan suspek dalam kes ini.

Katanya, pasangan suami isteri dituduh di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007) manakala suspek yang berusia 35 tahun turut dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007), kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang yang mana pasangan itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM10,000 setiap orang.

“Manakala, di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadap suspek yang berusia 35 tahun pula telah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang dan tertuduh mengaku tidak bersalah serta membayar wang jaminan yang ditawarkan iaitu RM8,000 oleh mahkamah tersebut,” katanya.

Mahkamah  menetapkan sebutan kes bagi kedua-dua pertuduhan pada 5 Oktober 2022 di Mahkamah Sesyen Klang.

Dalam pada itu, mangsa dalam kes ini iaitu amah Indonesia mendapatkan rawatan di Hospital Selayang dan kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita Khas, Kuala Lumpur,” ujar Arjunaidi. – MalaysiaGazette