Empat lelaki pekerja ah long yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang buruh ladang sawit mengaku tidak bersalah melakukan ugutan jenayah, menyimbah cat merah dan mengunci rumah beberapa individu yang meminjam wang daripada seorang ah long.

Tertuduh, Ahmad Fadil Mahmudin, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari selepas empat pertuduhan berkaitan dibacakan di Mahkamah Majistret 1, di sini hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, pada 26 Ogos lalu, Ahmad Fadil didakwa menampal notis berbaur ugutan di sebuah rumah di Lorong Indera Mahkota 2/68, selain menyimbah cat merah dan mengunci kediaman berkenaan dengan penghuninya masih berada di dalam rumah.

Bagi kesalahan tersebut, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 340 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 kepadanya dan menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, tiga lagi rakannya mengaku bersalah melakukan kesalahan sama di kawasan lain pada tarikh berasingan.

Mereka juga didakwa mengikut seksyen yang sama.

Tertuduh pertama, Muhamat Faizul Abdul Yamin, 35, mengaku salah bagi lapan pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada mangsa, menyimbah cat merah dan mengunci rumah mangsa.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 340 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa kediaman di sekitar Taman Balok Jaya, Taman Datuk Abdul Rashid 2, Bandar Baru Chendor, Kampung Jaya Gading dan Taman Tas Ria sejak 18 April lalu.

Tertuduh ditawarkan wang jaminan sebanyak RM20,500 dan menetapkan 27 September depan untuk sebutan hukuman.

Manakala tertuduh kedua iaitu Muhamad Adam Sait, 35, juga mengaku salah setelah kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan hakim Nurul Farahah Mohd Suah di sini.

Pekerja kontrak itu didakwa bagi tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada mangsa dan menyimbah cat merah di kediaman sekitar Bandar Baru Chendor pada 26 Ogos lalu dan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Dia ditawarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 September depan untuk bacaan hukuman.

Sementara itu, tertuduh ketiga Mohd Nazrin Musa, 29, pula mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan terlibat melakukan ugutan jenayah kepada mangsa, menyimbah cat merah dan mengunci rumah mangsa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 340 Kanun Keseksaan.

Pekerja kedai tayar itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 dan mahkamah menetapkan 23 September depan untuk hukuman.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan :

https://malaysiagazette.com/2022/09/05/wanita-mengandung-antara-lima-ditahan-tolong-ah-long-kutip-hutang/