Mahdzir Khalid ketika projek ternakan ayam sistem tertutup di Kampung Kubang Palas

KUALA LUMPUR –  Felcra Berhad (Felcra) melaksanakan projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap.

Menteri Pembangunan Luar Bandar,  Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ternakan ayam sistem tertutup di Kampung Kubang Palas itu dijadual mula beroperasi pada bulan Oktober tahun depan.

“Pembinaan kompleks ternakan ayam ini merupakan strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada janaan ekonomi setempat sahaja, sebaliknya ia merupakan aktiviti bagi membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

“Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi,” katanya selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Projek Ternakan Ayam, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria.

Jelas Mahdzir, kompleks ternakan ayam itu dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250 ribu ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

“Saya menaruh harapan dengan pelaksanaan projek ini, anak-anak muda di Padang Terap tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja sebaliknya boleh menetap di sini dan mendapatkan sumber pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan,” katanya lagi.

Selain itu Mahdzir berkata, projek ternakan ayam itu turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan FELCRA untuk terlibat secara aktif di dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

Untuk rekod, FELCRA turut melaksanakan projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu yang pertama di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang. – MalaysiaGazette