Pekerja-pekerja berduyun-duyun menaiki LRT untuk ke tempat kerja. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh Malaysia bertambah kukuh pada bulan Julai dengan kadar pengangguran mencatat 3.7 peratus, iaitu menghampiri paras pra-pandemik.

Pencapaian ini adalah jauh lebih baik berbanding dengan 4.5 peratus yang dicatatkan pada tahun 2021 dan 4.2 peratus pada Januari tahun 2022, menurut Jabatan Perangkaan

Bilangan penganggur terus menurun kepada 620,700 (Jun 2022: 630,600 orang).

Bilangan penduduk bekerja pada Julai 2022 terus mencatatkan pertumbuhan positif 0.3 peratus kepada 15.98 juta orang (Jun 2022: 15.94 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan semakin meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit; dan aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan.

Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan turut menunjukkan peningkatan, kecuali bagi sektor pertanian dan perlombongan & ppengkuarian yang mencatatkan penurunan dalam guna tenaga.

Kedudukan tenaga buruh pada Julai 2022 juga bertambah baik berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan merekodkan 16.60 juta orang (Jun 2022: 16.57 juta orang)

Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada kadar 69.6 peratus.

Mengulas mengenai prestasi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, prestasi pasaran buruh yang lebih kukuh ini disokong oleh kedudukan ekonomi yang bertambah baik bagi suku kedua tahun 2022 dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh pada kadar 8.9 peratus.

Bagi separuh pertama tahun 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 6.9 peratus.

Peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial yang kembali normal, terutamanya susulan pembukaan sempadan negara sejak 1 April 2022 telah memberi impak positif terhadap pasaran buruh negara yang telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Menurutnya, momentum pemulihan pasaran buruh ini juga selaras dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, seperti program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MyFutureJobs.

Mustapa berkata, krajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Malah, katanya, pasaran buruh dijangka terus kukuh pada suku tahun ketiga dengan jangkaan prestasi perniagaan lebih baik.

Ini kerana, petunjuk keyakinan mencatat 4.7 peratus bagi suku ketiga tahun 2022 berbanding 3.5 peratus pada suku kedua, menggambarkan situasi ekonomi dijangka lebih baik pada suku ketiga tahun ini. – MalaysiaGazette