Adenan (depan) memeriksa kenderaan menerusi Ops Khas Pengarah di Plaza Tol Juru arah utara di Pulau Pinang awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 30 kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang terhadap pemandu kenderaan berat dan awam yang bertindak memandu di lorong kanan secara berterusan di beberapa laluan utama termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan di sini.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, sikap pemandu tersebut bukan saja menyebabkan beberapa jalan utama di negeri ini mengalami kesesakan sebaliknya turut mengancam nyawa pengguna jalan raya lain termasuk penumpang yang dibawa mereka.

Jelas Adenan, kesesakan lalu lintas di negeri ini meningkat susulan cuti sekolah dan meruncing apabila pemandu kenderaan berat yang masih degil meneruskan pemanduan secara berterusan di lorong kanan.

Adenan (tengah).

“Hanya dalam tempoh 10 jam bermula pukul 10 pagi kita keluarkan 30 kompaun itu dan kita percaya lebih banyak kesalahan sama dilakukan pemandu kenderaan berat serta awam sekiranya tiada penguatkuasaan dilakukan.

“Kalau kita lihat kesesakan lalu lintas akan berlaku di Seberang Jaya hingga ke Plaza Tol Juru disebabkan pemandu kenderaan berat namun mereka dilihat seolah-olah tidak peduli akan situasi itu dan meneruskan pemanduan secara santai di lorong kanan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan Ops Khas Pengarah di Plaza Tol Juru (arah utara) di sini, hari ini.

Sebanyak 198 notis kompaun dikeluarkan dalam operasi tersebut.

Terdahulu, sebanyak 198 notis kompaun dikeluarkan menerusi tersebut yang dijalankan di Plaza Tol Juru (arah utara), Plaza Tol Sungai Dua (selatan) serta Plaza Tol Jawi yang berakhir jam 1 pagi tadi.

Kata Adenan, sebanyak 112 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan daripada 336 kenderaan yang diperiksa dalam operasi bersepadu dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (MOTAC) Pulau Pinang serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.

“Selain itu, kita turut mengesan beberapa bas ekspres tidak mempunyai pemandu kedua, yang merupakan antara faktor membawa kepada kemalangan.

Pemeriksaan turut dijalankan ke atas bas ekspres.

“Mengikut peraturan JPJ, semua bas ekspres perlu ada pemandu kedua yang menggantikan pemandu pertama jika membabitkan perjalanan melebihi 300km,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa MOTAC Pulau Pinang, Rohizat Ab Rahman berkata, pihaknya turut mengeluarkan tiga notis terhadap bas persiaran yang didapati tidak mempunyai pemandu pelancong.

“Memandangkan musim cuti sekolah kita buat pemeriksaan bas persiaran bagi memastikan mereka (syarikat pelancongan) mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Daripada pemeriksaan kenderaan yang dilakukan tiga notis dikeluarkan kepada kenderaan pelancongan yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam Akta Industri Pelancongan 1992,” jelasnya.

Rohaizat.

Tambah Rohizat, MOTAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar kesalahan dibawah Akta Industri Pelancongan.

“MOTAC akan terus menjalankan operasi bagi memastikan semua pengusaha dan penggiat industri pelancongan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam akta berkenaan.

“Ini kerana jika berlaku sebarang kemalangan kita sudah ada maklumat mengenai penumpang selain pemandu pelancongan mempunyai kepakaran dalam menyampaikan maklumat tepat berkaitan lokasi pelancongan dalam negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette