TUMPAT – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan empat projek di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kesemua projek tersebut diputuskan dalam mesyuarat ECERDC di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Projek itu meliputi pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sejauh 147 kilometer (km) dan Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Golok Fasa 2 yang telah diluluskan dengan kos sebanyak RM897 juta.

“Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk melebarkan jalan projek Lebuhraya Kuantan, Pahang – Segamat, Johor Fasa 2 yang melibatkan jajaran dari Runchang ke Simpang 3 Keratong sepanjang 51 km.

“Kerajaan juga akan membangunkan kawasan bandar-bandar bersempadan dengan Thailand iaitu membina jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini hari ini. – BERNAMA