Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tiga kiri) diiringi Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan (dua kanan) serta Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi (dua kiri) menyerahkan memorandum kepada Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri, Saravana Kumar (tengah) bagi menggesa kerajaan membantu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja luar negara kepada wakil Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan menangani isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan Myammar, Laos dan Kemboja membabitkan warga negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perkara yang dilakukan sindiket yang tidak bertanggungjawab itu jelas satu perlanggaran hak asasi manusia.

Malah tindakan itu adalah ‘penghambaan zaman moden’ dan juga salah satu bentuk pemerdagangan manusia yang salah di sisi undang-undang.

MHO, katanya, mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan tekanan mengenai isu ini semasa Persidangan Asia (ASEAN Conference) serta mengambil tindakan diplomatik dengan negara-negara tersebut sekiranya perkara itu berpanjangan dan gagal diselesaikan.

“Perkara ini telah berlanjutan yang mana menyebabkan hidup mereka dalam keadaan yang amat tertekan dan sebilangan daripada mereka telah gagal dikesan dan hilang jejak daripada ahli keluarga mereka di sini.

“Ini menyebabkan keluarga mereka di Malaysia amat bimbang tentang keadaan dan keselamatan ahli keluarga mereka tersebut.

“Pihak kami juga dimaklumkan bahawa sebelum ini terdapat ahli keluarga mangsa yang telah membuat laporan polis serta meminta bantuan pihak kerajaan Malaysia dan Kedutaan Malaysia di negara-negara tersebut tetapi tiada keputusan positif diterima di mana tindakan yang diambil dikatakan tidak mencukupi,” katanya.

Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan (tengah) bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tiga kanan) serta Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi (empat kiri) bergambar dengan NGO yang lain serta ahli keluar mangsa yang hadir untuk menyerahkan memorandum mengenai menggesa kerajaan membantu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja luar negara kepada wakil Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum MHO mengenai isu kepada Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan.

Mengulas lanjut, Hishamuddin memberitahu, MHO mendapat makluman mereka yang menjadi mangsa telah diperdaya oleh sindiket  dengan pelbagai cara antaranya secara platfom atas talian di mana ditawarkan dengan gaji yang tinggi.

Jelas beliau, apabila berada di negara yang ditentukan, mereka akan disuruh bekerja secara paksa, diugut serta diseksa oleh ahli sindiket tersebut.

“Setakat ini dimaklumkan anggaran seramai lebih kurang 170 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kepada sindiket tersebut dan masih terperangkap disana.

“Selain itu, terdapat mangsa disana dipercayai dijual daripada satu ejen kepada ejen lain serta satu syarikat kepada syarikat yang lain malah daripada satu negara kepada negara yang lain.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media sebelum menyerahkan memorandum mengenai menggesa kerajaan membantu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja luar negara kepada wakil Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

“Mereka juga telah dipaksa membuat pekerjaan haram seperti menjadi scammer, judi atas talian dan diugut serta dipukul sekiranya tidak mencapai sasaran jualan akan dijual kepada pihak-pihak lain.

“Sindiket penipuan tersebut juga menuntut wang pampasan kepada pekerja-pekerja rakyat Malaysia tersebut sekiranya ingin dilepaskan atau dihantar kembali balik ke Malaysia dalam lingkungan lebih kurang RM50,000 hingga RM100,000,” dakwanya.

Hishamuddin menambah, MHO difahamkan terdapat beberapa mangsa apabila tidak tahan diseksa telah membuat laporan kepada pihak berkuasa di negara terlibat.

Malangnya tiada tindakan serta pembelaan bagi laporan mereka tersebut dan mereka beranggapan bahawa sindiket penipuan tersebut mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan pihak berkuasa di negara terbabit. – MalaysiaGazette