Dr Adham Baba MOSTI mRNA Covid-19 vaccine Malaysia
Adham Baba

BANGI – Kumpulan Perindustrian Nanoteknologi Malaysia (MNIG) yang dilancarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mampu untuk menghimpunkan pemain industri nano di Malaysia sekali gus mengurangkan jurang ekosistem nanoteknologi negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kumpulan itu disasarkan menjadi platform terbaik ke arah penglibatan lebih banyak industri terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pemain ekosistem inovasi tempatan dalam bidang nanoteknologi.

Ia seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan produk inovatif yang bernilai tinggi.

“MOSTI mahu PKS industri teknologi nano diberi sokongan sewajarnya. MNIG adalah bukti komitmen MOSTI kepada industri teknologi nano.

“MOSTI percaya penubuhan MNIG ini akan dapat merealisasikan hasrat negara untuk menjadi pemain industri nano di peringkat serantau dengan mengambil peluang perkembangan pasaran nanoteknologi Asia Pasifik yang diunjurkan mencapai lebih USD$2.6 trilion pada tahun 2025,” katanya ketika menghadiri majlis penutup Nano Kebangsaan (Nanokeb 2022) hari ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, penganjuran NanoKEB berkait rapat dengan aspirasi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030 yang telah dilancarkan pada 15 November tahun lalu.

Aspirasi DSNN tersebut diselaraskan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Sasaran strategi teras DSNN 2021-2030 merangkumi pemerkasaan tadbir urus, peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan industri dan pemantapan standard serta regulatori nanoteknologi di Malaysia.

“Kesemua strategi teras ini disokong Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang telah saya lancarkan pada bulan April 2022 yang lalu,” kata Adham lagi.

Justeru itu, Adham berkata, inisiatif itu adalah manfaat kepada Keluarga Malaysia terutamanya dalam penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam domain teknologi maju yang semakin berkembang termasuk nanoteknologi.

Ekosistem nanoteknologi akan memastikan semua segmen sosioekonomi negara dapat meneroka potensi masing-masing dalam bidang nanoteknologi.

“Besar harapan MOSTI agar ekonomi negara dapat dipacu menerusi teknologi dan produk nano tempatan sekali gus mencapai nilai pasaran di peringkat Asia Pasifik dan global dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette