Salah sebuah kapal kargo yang ditahan pihak berkuasa kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur semalam.

KOTA TINGGI– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan dua buah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal kargo pertama berdaftar dari Vietnam ditahan pada jam 12.40 tengah hari pada kedudukan 17.3 batu nautika (bn) timur laut Tanjung Penawar.

Kapal ini dikendalikan 20 orang kru lelaki termasuk nakhoda berumur lingkungan 25 hingga 43 tahun, kesemuanya warga Vietnam.

Manakala kapal kedua berdaftar dari Monrovia yang dikendalikan 24 orang kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga Filipina berusia di antara 24 hingga 62 tahun ditahan pada jam 5.45 petang pada kedudukan 16.9 bn timur Tanjung Sedili Kechil.

“Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati kedua-dua nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru setiap kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kemyataan media hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Penahanan ini merupakan tindakan keenam atas kesalahan yang sama sejak 1 September lalu,  menjadikan jumlah kapal dagang yang ditahan pada tahun ini sebanyak 38 buah atas kesalahan yang sama dari pelbagai jenis serta berdaftar dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

Maritim Malaysia juga menegaskan akan mempergiatkan lagi usaha tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perairan Johor Timur bebas daripada cubaan bersauh secara haram. – MalaysiaGazette