KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkat kawalan keselamatan sempena perlawanan akhir piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 September, esok.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, lebih 1,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk menjaga keselamatan luar dan dalam stadium menjelang perlawanan JDT menentang Terengganu FC.

“Ia termasuk PDRM, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan PDRM (K9), unit berkuda, unit pemusnah bom, jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik (JSPT) dan response team.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan di setiap pintu masuk stadium serta selepas penonton memasuki pekarangan stadium”

“Pemeriksaan akan meliputi pemeriksaan tubuh badan, dalam beg serta barangan yg dibawa oleh penonton” katanya dalam sidang media khas menjelang Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dalam perlawanan yang dijangka bermula pada 9 malam itu, penonton tidak dibenarkan membawa masuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, mancis, pemetik api, dan sebarang objek tajam.

Tambah Zam Halim, penonton juga dilarang membawa masuk senjata tajam seperti parang, pisau, minuman keras, payung, tongkat, powerbank dan juga botol air ke dalam stadium itu.

Bagi menangani masalah trafik, penonton dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam kerana terdapat beberapa program turut berjalan pada waktu sama di sekitar stadium itu.

Zam Halim berkata, perkhidmatan Rel Aliran Ringan (LRT) akan beroperasi sehingga jam 1 pagi.

“Pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan, sama ada di laluan masuk atau keluar stadium”

“Kita akan mengenakan tindakan saman atau ditunda kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas” katanya.

Ujar Zam Halim, untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat meletakkan kenderaan, penyokong kedua-dua kelab boleh rujuk di laman web malaysianfootballleague.com, atau prasarana.com untuk jadual pengangkutan awam.

Beliau juga menasihatkan penyokong kelab yang bertanding di peringkat final itu supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi, hanya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Kita dah pun mengadakan pertemuan dengan pegawai keselamatan kelab yang terlibat, kita telah memaklumkan bahawa mereka adalah pihak yang berperanan untuk mengawal tingkah laku dan kelakuan penyokong untuk menjaga kelakuan.

“Kita ada menempatkan pegawai bukan sahaja di dalam stadium, malah di luar stadium untuk mengesan lebih awal jika terdapat sebarang unsur-unsur kelakuan yang tidak diingini,” tambahnya.

Menurutnya, beberapa pegawai PDRM berpakaian preman akan ditempatkan di sekitar dalam dan luar stadium untuk memantau pergerakan kumpulan-kumpulan hooligan yang berpotensi melakukan provokasi sewaktu perlawanan. – MalaysiaGazette