Sebuah lori tangki minyak yang diubah suai antara yang turut dirampas menerusi Op Kontraban pada 6 September lalu.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mematahkan sindiket penyeludupan minyak diesel di Pandamaran, Klang selepas memberkas tiga lelakiĀ  dan seorang warga asing menerusi Op Kontraban pada 6 September lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, sejumlah 70,000 liter minyak diesel dirampas termasuk pelbagai peralatan disita dengan nilai keseluruhan mencecah RM7.59 juta.

Menurutnya, serbuan dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) serta Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Jelas beliau, turut dirampas adalah sebuah kereta, sebuah tongkang dan sebuah lori tangki minyak yang diubah suai termasuk pelbagai jenis peralatan pemindahan minyak.

Sebuah tongkang juga dirampas dalam Op Kontraban.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam kenyataan hari ini, polis akan terus memperkukuh koloborasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi melindungi kepentingan hasil negara.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar pihak terbabit menghentikan kegiatan tersebut kerana PDRM tidak akan berkompromi dengan tindakan tegas diambil. – MalaysiaGazette