Mohd Shuhaily (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 25 penunggang ditahan manakala 119 motosikal disita selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti samseng jalanan di Pulau Pinang.

Statistik itu diperoleh selepas polis serta pelbagai agensi berkaitan melakukan operasi serta pemantauan membabitkan aktiviti tidak bermoral itu sejak 17 Julai lalu.

Selain itu, sebanyak 712 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh sama.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tiada penganjuran perlumbaan haram yang besar di negeri ini tetapi ia hanya kes kecil membabitkan penunggang menunjukkan aksi berbahaya di jalan raya.

Jelas beliau, ia susulan operasi dan pemantauan terus dijalankan bagi mengekang kegiatan lumba haram dan aktiviti rempit susulan insiden kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, pada Julai lalu.

“Sejak kejadian itu, kita tidak dapat apa-apa maklumat berlaku perlumbaan haram yang besar, cuma ada beberapa kes membabitkan pamer aksi berani dan berbahaya seperti ‘Superman’

“Malah penunggang yang ditahan juga sudah dikenakan tindakan reman.

“Suka saya jelaskan di sini bahawa ia bukan tindakan kejam tetapi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti itu bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaily berkata, beberapa jalan raya utama di sekitar Georgetown akan ditutup bagi memberi laluan kepada acara sempena penganjuran Program The 26th World Congress On Innovation & Technology 2022 yang bakal berlangsung pada 13 hingga 15 September ini.

Mohd Shuhaily menunjukkan beberapa jalan yang akan ditutup sempena penganjuran Program The 26th World Congress On Innovation&Technology 2022 (WCIT2022) yang bakal berlangsung pada 13 hingga 15 September ini.

Acara yang dijangka menarik lebih 4,000 pengunjung itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, barisan menteri dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Kata beliau, antara laluan yang ditutup ialah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Lebuh Duke dan Jalan Padang Kota Lama.

“Kita jangkakan jumlah pengunjung tidak melebihi 10,000 orang tambahan pula keesokannya adalah cuti umum sempena Hari Malaysia dan ia mungkin mengganggu lalu lintas.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya memberi kerjasama bagi melancarkan aloran trafik dan perjalanan program selain menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” ujar Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette