Rayer (kanan), Syerleena (tengah) dan Ramkarpal pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berikutan keupayaannya membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid di pejabat SPRM negeri di sini semalam diiringi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selaku peguam bersama Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan.

Menurut Rayer, SPRM perlu menjalankan siasatan bagaimana Abdul Hadi mengumpul dana tersebut yang kemudiannya digunakan untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan kedua-dua pihak.

Rayer.

“Aduan itu dibuat Syerleena bagi menuntut siasatan dilakukan mengikut akta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kes itu turut boleh disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana wang terlibat tidak diisytiharkan di bawah akta cukai pendapatan,” katanya dalam sidang media di Wisma DAP negeri di Jalan Rangoon di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Ramkarpal turut hadir pada sidang media tersebut.

Terdahulu, Syerleena memberitahu, selama tiga jam mereka berurusan di pejabat SPRM negeri bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari selain mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu dalam bentuk dokumen.

Sementara itu, ketika diminta mengulas butiran lanjut laporan yang dibuat kepada SPRM, Rayer menegaskan, pihaknya telah diberi notis SPRM agar tidak mendedahkan proses siasatan tersebut.

“Kes masih dalam siasatan jadi tidak banyak yang boleh didedahkan tapi tujuan kami adalah untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa ada laporan dibuat berkenaan perkara itu.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa kita tidak membuat sebarang tomahan atau tuduhan tetapi menuntut perkara ini disiasat SPRM,” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai bukti berbentuk ‘penyata bank’ bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah membayar RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, bayaran itu sebagai penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette