Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) didakwa hanyalah muslihat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi ‘king maker’, justeru mendorong beliau untuk mendaftarkan gabungan itu pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)

Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mendakwa Mahathir kini mencari ‘bargaining power’ (kuasa tawar-menawar) kerana menang dua atau tiga kerusi sudah cukup mencari ‘mangsa baharu’.

Namun, GTA tiada parti yang dominan kerana ia hanya disertai oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Atas faktor itu, beliau mendakwa, GTA tidak akan ke mana-mana, apatah lagi tanpa sokongan orang-orang Cina.

”DAP yang Tun M sucikan sebagai parti bukan cauvinis tidak lagi mempercayainya. DAP serik dengan apa yang Tun M buat kepada mereka.

“PH (Pakatan Harapan) tumbang selepas 22 bulan kerana politik toksik Mahathir-Muhyiddin,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Mohd Puad mendakwa, Mahathir hanya mahu menyelamatkan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang diharapkan dapat meneruskan legasinya.

Veteran UMMO itu percaya hanya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yaasin dapat membantu Mahathir memandangkan kedua-duanya terdesak.

”Sudahlah Tun M-Muhyiddin. Game over. Niat kamu berdua untuk bunuh UMNO gagal,” ujarnya. – MalaysiaGazette