Pakatan Harapan
Gambar Arkib MG

PETALING JAYA – Kajian mendapati sejak Julai lalu, terdapat penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan kaum Cina yang bertukar menjadi pengundi “atas pagar” kerana berasa kecewa dengan pakatan politik itu.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, PH justeru tidak harus melihat sokongan kaum Cina kepada PH sebagai suatu kepastian.

Beliau berkata, kekecewaan mungkin berpunca daripada sentimen pengundi bahawa sokongan mereka kepada PH menjadi sia-sia kerana kerajaan PH tidak berjaya melakukan apa-apa semasa mentadbir negara selama 22 bulan.

“Sudah tentunya, kami boleh menjelaskan bahawa 22 bulan yang ada tidak mencukupi untuk melakukan sesuatu.

“Tetapi hakikatnya, kami masih tidak boleh mengabaikan sentimen (tidak puas hati) yang ada dalam kalangan pengundi,” katanya kepada Sinchew Daily.

Lih Kang berkata, cara yang lama, termasuk cara hujahan yang beremosi,  juga tidak boleh digunakan untuk mendapat sokongan pengundi Cina.

Katanya, pengundi menguasai lebih banyak maklumat selepas 2018 dan mereka juga lebih mengambil berat akan politik.

Beliau berpendapat, sentimen pengundi yang kecewa tidak semestinya sesuatu yang buruk.

“Atas pagar bermaksud mereka belum membuat keputusan siapa yang akan dipilih.

“Adalah menjadi satu cabaran untuk kita menambat semula kepercayaan dan sokongan pengundi atas pagar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang juga mengakui PH masih perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat sokongan pengundi Melayu luar bandar.

Katanya, pengundi Melayu di bandar termasuk golongan berpendapatan sederhana pula  menyokong PH, tetapi sokongan itu perlu diperkukuhkan. – MalaysiaGazette