Puad Zarkashi Facebook Syed Saddiq mahkamah
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memohon saman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadapnya dibatalkan.

Beliau juga melihat Tommy semakin kuat mengkritik Najib setelah Ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan.

“Kenapa mohon batalkan saman Najib? Lawanlah di mahkamah. Bersemukalah dengan Najib,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Najib menarik balik saman terhadap kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun beliau meneruskan saman terhadap Tommy selaku defendan pertama.

Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman itu atas dakwaan pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Katanya beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 membabitkan 1MDB dan International Petroleum Investment Company.

Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada November tahun lalu, Tommy dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib atas alasan ia hanyalah satu serangan sampingan (collateral attack) untuk menghentikan semua perbicaraan dan kes yang dihadapinya.

Puad menambah, rakyat juga sedang menunggu maklumat mengenai 19 dapatan utama Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan Tommy dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan laporan akhir pasukan petugas tersebut mengandungi 19 isu penting yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast