Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – “Ini bukan cerita tipu, saya sendiri dengar rintihan keluarga tentang bagaimana ahli keluarga mereka yang keluar berhijrah bekerja di Kemboja bukan sahaja ditipu sebaliknya didera dan diseksa oleh scammer.”

Itu antara luahan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hisham.

Menurutnya, jika kerajaan tidak bertindak, mereka tidak akan dapat balik dengan selamat sampai bila-bila.

“Kita sudah ada lebih 20 pengadu, kita dengar ada lagi ramai keluarga mereka ini tampil kepada MHO bagi membantu keluarga mereka yang terperangkap di negara itu, menyedihkan sekali kerana masih ada lebih 170 mangsa terperangkap di luar sana,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hishamuddin berkata demikian mengulas berhubung sindiket pekerjaan yang menipu rakyat di negara ini untuk bekerja di luar negara tetapi menipu mangsa.

Ini kerana katanya, sindiket-sindiket yang terlibat dilihat melanggar hak asasi manusia secara jelas juga merupakan salah satu bentuk pemerdagangan manusia yang salah di sisi undang-undang.

“Saya sendiri menerima panggilan-panggilan berbaur ugutan kononnya perjuangan MHO untuk bantu golongan ini sia-sia kerana ramai yang rela menyertai sindiket ini. Pada saya itu bodoh, mana ada orang sanggup diperdagangkan  atau diseksa sebegitu rupa?

“Mestilah kalau saya sudah ditahan dengan ‘mereka-mereka’ ini di sana, saya akan cakap diri saya sukarela atau saya kena electric shock. Kalau hendak tahu mereka ini benar-benar sukarela atau tidak, panggil mereka balik dan buat pengakuan.

“Ini satu penipuan dengan mengajak mereka bekerja sesuatu yang tidak wujud, mereka ini anak-anak orang Malaysia. Kita tidak setuju mereka berada di sana tanpa kerelaan. Biar susah di negara sendiri, jika susah di negara orang, kita semua sakit jiwa,” katanya lagi.

Perjumpaan dengan keluarga mangsa di pejabat MHO pada Rabu lepas.

Jelas Hishamuddin lagi, perkara itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan sebelum pihaknya dihubungi keluarga mangsa yang telah menggunakan saluran seperti laporan polis dan lain untuk membantu mereka menjejaki mangsa namun langsung tiada sebarang respon positif.

“Sindiket penipuan tersebut juga menuntut wang pampasan kepada pekerja-pekerja rakyat Malaysia tersebut sekiranya ingin dilepaskan atau dihantar kembali balik ke Malaysia dalam lingkungan lebih kurang RM50,000 hingga RM100,000. Ada yang diseksa fizikal dan mental secara teruk sehingga mereka buat aduan kepada pihak berkuasa negara itu namun tidak ada apa-apa,” ujarnya.

MHO telah mula mengadakan perjumpaan dengan ahli keluarga mangsa sejak Rabu lepas di pejabat mereka, rata-rata mangsa sebenarnya bukan sahaja di tipu sebaliknya telah di ugut bekerja dengan sindiket penipuan atas talian di Myanmar, Laos dan Kemboja.

BACA: MHO gesa kerajaan tegas tangani sindiket penipuan kerja luar negara

Jelas Hishamuddin, ada ramai lagi keluarga mangsa yang akan mengadakan perjumpaan dengan pihaknya dan mencari jalan untuk membawa pulang keluarga atau kenalan rapat mereka kembali ke negara ini.

“Ini rakyat Malaysia, kita perlu bertindak tegas. Gunakan semua platform yang ada, janganlah sekadar guna Wisma Putra atau Kedutaan. Gunakan semuanya, hantar biota bantahan, tegasan atau putuskan hubungan diplomatik pada negara-negara yang yang bersekongkol.

“Ini jenayah terbuka yang sedang dilindungi oleh pihak berkuasa, saya minta semua supaya kita bersatu hati, kita perlu bantu mereka pulang. Ini hari mereka, mereka harapkan kita, mungkin esok lusa hari kita pula. Tolonglah, golongan ini sudah buat laporan dan aduan, sesuatu perlulah dilakukan,” tegasnya.

Semalam MHO turut menghantar memorandum bersama Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) kepada Kementerian Luar Negeri bagi mendesak kerajaan Kementerian Luar Negeri menyalurkan bantuan segera kepada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kejam itu.

Sementara itu, Wisma Putra semalam telah berjaya dalam misi menyelamat dan membawa pulang 24 rakyat Malaysia ke tanah air selepas menjadi mangsa penipuan skim pekerjaan dan pelancongan di Kemboja sejak dua bulan lepas. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wisma Putra selamatkan 24 rakyat Malaysia mangsa penipuan di Kemboja