BANGI – Tidak ada mana-mana negeri akan ketinggalan dalam persediaan menghadapi bencana banjir yang diramal berlaku hujung tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak yang terlibat Isnin ini bagi membincangkan perkara tersebut.
Beliau tidak mahu ada negeri yang tidak bersedia dalam menghadapi bencana tersebut seperti yang berlaku sebelum ini.
“Saya tak nak jadi seperti dulu, setengah negeri bersedia, setengah negeri yang tak biasa hadapi banjir tak bersedia dan akhirnya berlaku terutama di Selangor dan sebagainya.
“Saya nak kali ini semua bersedia bukan setakat di peringkat Persekutuan, banjir ini sampai ke peringkat daerah pun mesti bersedia sejak awal lagi,” kata Ismail Sabri kepada media.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Program Aspirasi Kecermelangan Keluarga Malaysia di German-Malaysian Institute (GMI) hari ini.
Ismail Sabri berkata, persediaan antara lain harus meliputi pusat pemindahan banjir dan stok bekalan makanan.
“Jadi dari segi peralatan untuk mengangkut, pusat perpindahan pun dah sedia. Kalau boleh semua sudah sedia sebelum berlaku apa-apa. Yang penting persediaan itu ada.
“Kita pun tak tahu berlaku besar atau kecil tapi kita mesti menganggap akan berlaku besar. Jadi persediaan itu perlu dilakukan lebih awal. Jadi saya akan panggil mesyuarat Isnin minggu depan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.
Beliau berkata, METMalaysia meramalkan sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.-MalaysiaGazette