Sharifah Amani Syed Zainal Rashid sah bergelar isteri kepada Ahmed Faris Amir.

KUALA LUMPUR – Dengan sekali lafaz, pelakon, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid sah bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir pada majlis tertutup di sebuah premis acara di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P. Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

Pada majlis berkonsep rona putih dihadiri 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang.

Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Antara rakan yang hadir adalah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.

Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Tangsi Tujuh dan ditata rias adik bongsu, Sharifah Aryana, Sharifah Amani yang mesra disapa Nani bersyukur perancangan hari bahagia sejak beberapa bulan lalu lancar.

“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

“Biar pun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.

“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami… Insya-Allah,” kata anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar berusia 36 tahun itu.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan itu mula bertemu tiga tahun lalu ketika Sharifah Amani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris.

“Bagaimanapun, tiga tahun lalu, kami bekerja atas paksi profesional… Belum ada rasa cinta. Dipendekkan cerita, selepas Covid-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” katanya.

Mengenai peribadi suami, Sharifah Amani tertawan dengan kebijaksanaan Ahmed Faris yang berusia 34 tahun.

“Suami tangkas dalam setiap gerak-geri. Dia pandai dan bijak mengambil hati saya. Malah, pada masa sama, suami sering buat saya tergelak dan mudah terhibur.

“Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” katanya.

Mengenai bulan madu, pasangan ini belum merancang dan ditanya soal zuriat, Sharifah Amani dan suami tidak menolak rezeki andai dikurniakan cahaya mata pengikat kasih.

“Kami hendak selesaikan proses berpindah rumah selepas berkahwin. Kemudian, baik saya mahu pun suami, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

“Mungkin apabila selesai kerja dan suami dapat cuti, kami boleh fikir perancangan spontan menghabiskan masa berdua. Kalau okay pun, mungkin akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmed Faris cukup menyenangi peribadi dan karakter isterinya.

“Isteri sangat baik hati, pemurah dan penyayang,” katanya.

Malam ini, Ahmed Faris dan Sharifah Amani diraikan pada majlis resepsi di lokasi sama.

Jun lalu, Sharifah Amani yang meraih trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-19 melalui filem Gubra pada 2006, bertunang dengan Ahmed Faris.

Melalui hantaran Instagram, Sharifah Amani berkongsi foto memaparkan cincin di jari manis dan kelibat jejaka dipercayai tunang di belakang. – MalaysiaGazette