Najib Razak (kiri) dan Rosmah Mansor

UNIT Penyelidikan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang ditubuhkan pada 29 Julai 2013 berfungsi membantu Ketua Hakim Negara dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lain untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai isu perundangan dan menyediakan pendapat perundangan secara bertulis bagi kes-kes di Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, unit tersebut membantu Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam menyediakan kertas kerja berkaitan isu-isu perundangan di dalam dan luar negara secara ad-hoc.

Tidak ramai yang menyedari kewujudan Unit Penyelidikan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sehinggalah tular isu kebocoran kertas penghakiman rayuan akhir kes SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selepas itu, tular pula isu kebocoran kertas penghakiman kes projek solar hibrid sekolah luar bandar di Sarawak di mana isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tidak banyak yang diketahui tentang unit tersebut selain daripada maklumat ringkas yang tertera dalam laman sesawang rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Ada pihak yang mendakwa bahawa Unit Penyelidikan turut berperanan menulis draf penghakiman, namun maklumat itu tidak dinyatakan dalam laman sesawang berkenaan.

Pada 23 Ogos lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengesahkan draf kerja penghakiman kes SRC International yang belum dimuktamadkan telah bocor. Deraf yang sama juga dikatakan telah diubah suai.

Pejabat berkenaan menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan siasatan dalaman dan laporan polis juga dibuat.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan bahawa tindakan tatatertib akan diambil terhadap penjawat awam yang didapati membocorkan draf penghakiman tersebut.

Melalui siasatan yang dijalankan, dapat diandaikan bahawa terdapat kemungkinan draf penghakiman ditulis lebih awal. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada ia disediakan oleh Unit Penyelidikan atau unit mahkamah yang lain.

Lazimnya, draf penghakiman disediakan sendiri oleh hakim yang mengadili kes. Amalan serupa turut dipraktikkan di negara-negara Komanwel seperti United Kingdom, India dan Australia.

Malah di India, seorang hakim dilucutkan jawatan pada 18 Jun 2003 setelah beliau didapati membaca penghakiman yang disediakan oleh pihak lain.

Kita bimbang draf penghakiman yang ditulis lebih awal atau oleh pihak lain boleh menyebabkan wujudnya unsur ketidakadilan dari segi keputusan yang disampaikan kepada tertuduh. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Keputusan penghakiman biasanya dibuat hakim berdasarkan 2 hujahan pendakwa/pembelaan iaitu hujahan bertulis dan lisan. Yg bertulis sbnrnya dah lama dihantar ke hakim dan diteliti oleh beliau. Hujahan lisan pula adalah perbahasan berdasarkan hujahan bertulis itu. Sbb itu tidak salah jika ada draf penghakiman terlebih dahulu, tidak berlaku ketidak adilan spt mana dirisaukan penulis.

Comments are closed.