Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur melepasi paras 1,500 berikutan keyakinan bahawa tidak akan berlaku kemelesetan global.

Pengarah eksekutif dan pengurus dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata, kebimbangan dalam kalangan pemain pasaran dilihat menurun meskipun langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan Bank Pusat Eropah yang menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 mata asas.

“Kami juga melihat sektor teknologi menerajui pasaran saham dan para pelabur percaya kadar faedah tidak akan dinaikkan secara agresif,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, katanya, mereka menjangka bank pusat akan lebih menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi berbanding inflasi.

Di bursa tempatan, katanya, beliau yakin para pelabur akan memasuki semula pasaran berikutan permintaan pelaburan asing dan domestik yang kukuh serta kemajuan memberangsangkan dalam perdagangan dan pelancongan.

Oleh itu, beliau menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,500 hingga 1,530 pada minggu depan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 5.35 mata kepada 1,496.53 daripada 1,491.18 pada akhir minggu sebelumnya, seiring dengan peningkatan sentimen dalam kalangan bursa serantau.

Bagi papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 72.69 mata kepada 10,628.22, Indeks FBMT 100 naik 65.68 mata kepada 10,375.45, Indeks FBM Emas Shariah menokok 93.85 mata kepada 10,693.48, FBM 70 melonjak 195.67 mata kepada 12,756.82 dan FBM ACE menambah 51.80 mata kepada 4,858.48.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 10.09 mata kepada 707.16, Indeks Perladangan naik 36.13 mata kepada 6,993.97, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 5.38 mata kepada 185.60 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 53.17 mata kepada 16,817.18.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 11.39 bilion bernilai RM7.86 bilion daripada 9.43 bilion bernilai RM7.9 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 7.01 bilion unit bernilai RM6.29 bilion daripada  5.58 bilion saham bernilai RM6.65 bilion.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.28 bilion unit bernilai RM205.47 juta daripada 1.21 bilion unit bernilai RM196.70 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 3.07 bilion saham bernilai RM1.36 bilion daripada 2.64 bilion saham bernilai RM1.05 bilion. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast