Daing Sulaiman Daing Suhaimi

KUANTAN – Pendayung Terengganu, Daing Sulaiman Daing Suhaimi yang hanya mensasarkan tempat ketiga berjaya dinobat juara keseluruhan kategori kebangsaan lelaki TK1 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Teluk Cempedak di sini hari ini.

Lebih manis, Daing Sulaiman mengakhiri POPIC 2022 – kejohanan kanu antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Pahang dengan muncul juara Peringkat 5 melibatkan laluan perlumbaan sejauh 20 kilometer di pantai peranginan terkenal itu.

“Syukur alhamdulillah atas kemenangan hari ini, saya memang tak menjangkakan dapat meraih gelaran juara keseluruhan dalam kategori ini (kebangsaan TK1 lelaki) sebab persaingan memang sengit sejak perlumbaan Peringkat 1 lagi.

“Kalau ikutkan, saya hanya letak sasaran tiga terbaik kerana saya sedar ada beberapa lagi peserta pilihan terutamanya Adib (Kamaruzrizan) dan Freddy (Anggang). Ini sudah mungkin rezeki saya untuk muncul juara,” katanya.

Selaku juara keseluruhan, Daing Sulaiman yang menjuarai perlumbaan Peringkat 4 di Pantai Cherating di sini pada Sabtu membawa hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,500 selain turut meraih RM800 selaku pemenang peringkat.

Bagi kategori kebangsaan TK2 lelaki, gandingan berpengalaman yang mewakili Pahang, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta membuktikan kejagoan mereka apabila muncul juara keseluruhan, sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM5,000.

“Alhamdulillah segala perit jerih selama lima hari berakhir dengan kejayaan istimewa ini.

“Walaupun ada sedikit masalah pada awal perlumbaan hari ini tetapi kami masih dapat mengejar peserta lain untuk meraih kemenangan,” jelas Imam Sujadi.

Selain mengungguli Peringkat 5, Azfaruddin-Imam Sujadi turut tampil cemerlang apabila menjuarai Peringkat 1, 2 dan 4 selepas kemenangan mereka pada Peringkat 3 ditarik balik ekoran dikenakan penalti akibat kesalahan tidak mengikut laluan sepatutnya. – MalaysiaGazette