AUCKLAND – Lima orang maut di New Zealand selepas bot yang membawa pelancong untuk memerhati burung terbalik.
Bot itu dipercayai berlanggar dengan ikan paus.
Seramai 11 orang, kebanyakannya daripada kumpulan pemerhati burung berada di atas bot ketika ia terbalik pada hari Sabtu di Teluk Goose berhampiran bandar Kaikōura.
Polis enggan membuat spekulasi mengenai punca kemalangan itu namun mengesahkan perlanggaran itu.
Tetapi Craig Mackle, Datuk Bandar Kaikoura percaya bot itu telah melanggar ikan paus yang timbul.
Ini kerana, keadaan di teluk pada masa itu adalah “sempurna” dan pasukan penyelamat percaya ikan paus telah muncul di bawah kapal, menyebabkan ia terbalik.
Sekiranya bot itu melanggar serpihan – contohnya kayu balak – ia akan meninggalkan lubang besar dalam bot sepanjang 8.5 meter (28 kaki), tambahnya.
“Ini adalah peristiwa tragis yang mengorbankan banyak nyawa,” kata Mackie sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi menyelamat.
Katanya lagi: :Dapat membawa pulang semua mangsa adalah hasil terbaik dalam keadaan yang begitu dahsyat”.
Sarjan Matt Boyce enggan mengulas mengenai teori itu, tetapi mengakui kejadian seumpama itu “belum pernah berlaku sebelum ini”.
Beliau berkata mangsa yang terselamat dalam kejadian itu termasuk kapten bot itu telah dibawa ke hospital dan dibenarkan keluar.
Seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan ringan.
Penumpang kapal itu adalah sebahagian daripada kumpulan pemerhati burung yang dipercayai berkumpul dari seluruh negara.
Seorang petugas penyelamat berkata, dia dapat melihat seseorang duduk di atas bot yang terbalik sambil melambaikan tangan ketika dia tiba.
Beliau berkata, tiga helikopter turut mengambil bahagian dalam menyelamat.
Kaikoura terkenal dengan peminat hidupan marin dan beberapa perniagaan tempatan menawarkan perjalanan bot dan menaiki helikopter untuk melihat ikan paus dan ikan lumba-lumba. – Agensi