KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu depan berikutan pengeluaran lebih lemah daripada yang dijangkakan disebabkan kekurangan buruh baru-baru ini, kata seorang peniaga.
“Oleh itu, kami menjangkakan harga diniagakan antara jajaran RM3,500 dan RM4,000 minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Seorang peniaga lain menjangkakan pasaran MSM diniagakan antara jajaran RM3,300 dan RM3,500 setan metrik minggu depan di tengah-tengah paras inventori tinggi dan kebimbangan kemelesetan global.
Diharapkan harga yang rendah akan memberi manfaat kepada pengguna dan membantu mengurangkan peningkatan inflasi makanan, katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, niaga hadapan MSM kebanyakannya rendah dipengaruhi oleh prestasi lemah pasaran kacang soya, penurunan harga minyak mentah, sekatan pergerakan berkaitan COVID-19 di beberapa bandar di China dan pengeluaran MSM yang tinggi.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semerta September 2022 turun sebanyak RM711 kepada RM3,438 setan metrik, Oktober 2022 susut RM363 kepada RM3,542 setan metrik, November 2022 berkurangan RM336 kepada RM3,579 setan metrik dan Disember 2022 jatuh RM313 kepada RM3,621 setan metrik.
Sementara itu, kontrak Januari 2023 susut RM293 kepada RM3,668 setan metrik dan Februari 2023 berkurangan RM288 kepada RM3,715 setan metrik.
Jumlah dagangan meningkat kepada 344,758 lot daripada 238,728 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 261,706 kontrak daripada 189,745 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi September Selatan turun RM300 kepada RM3,650 setan metrik. – BERNAMA